Tuesday, February 28, 2012

Selamat Maju Jaya PASTI Negeri Perlis

PASTI Negeri Perlis menuju era baru dalam sistem pembelajaran sesuai dengan perkembangan dunia globalisasi kini.Sememangnya keyakinan dan ibu bapa kepada institusi PASTI ini semakin meningkat dan melebar sejajar dengan pertambahan pelajar PASTI  setiap tahun.

Sehingga bulan Februari tahun 2012 sahaja,pelajar PASTI Negeri Perlis berjumlah 900 pelajar berbanding 810 pelajar pada tahun sebelumnya.Ini membuktikan sistem pembelajaran di PASTI memenuhi hasrat dan harapan ibu bapa supaya anak-anak mereka menguasai asas ilmu agama dan ilmu alat yang lain.

Justeru itu,pihak pentadbiran PASTI Negeri mahupun peringkat pusat sendiri telah mewajibkan karnival Hari Bakat sebagai aktiviti tahunan bagi melatih dan menyungkil sifat kepimpinan dalam diri anak-anak PASTI ini.Pertandingan hafazan,pidato,nasyid,sajak dan banyak lagi menjadi slot wajib dalam tentatif Hari Bakat yang diadakan pada setiap tahun.Oleh yang demikian,ibu bapa dapat melihat sendiri kebolehan anak-anak mereka melalui media baru seperti facebook,You Tube dan jaringan telekomunikasi yang rancak berkembang dewasa ini.


Kesan dari jaringan media baru ini memperlihatkan institusi PASTI terus menjadi pilihan ibu bapa dalam mengkehendaki anak-anak mereka menguasai ilmu fardhu ain dan juga ilmu dunia secara efektif selari dengan syariat islam.

Walaupun begitu,institusi PASTI akan terus bergerak maju kehadapan dengan matlamat untuk melahirkan cendikiawan islam seperti zaman kegemilangan islam di zaman silam.Pertambahan instutusi kerajaan dan swasta yang merupakan persaingan yang sangat baik untuk PASTI bagi meningkatkan mutu dalam system pembelajarannya.

Insya Allah,semoga institusi PASTI terus bergerak dengan jayanya bersama harapan dan sokongan para ibu bapa yang tidak jemu berkongsi pandangan dan teguran bagi melihat pada suatu hari nanti PASTI akan melahirkan ulama’ dan professional ulung.

Sekian,


Mior Hassan Sazali Mior Hajjar
Pengarah PASTI Negeri Perlis

Monday, February 13, 2012

Tips Mendidik Anak Zaman Globalisasi

Psikologi Anak Zaman Globalisasi

Mengikut apa yang disarankan oleh Rasulullah saw, mendidik anak haruslah sesuai denga zamannya. Zaman yang kita lalui sekarang jauh berbeza dengan zaman ibu bapa kita dahulu. Jika zaman dahulu, anak-anak mudah dibentuk dengan rotan, akan tetapi zaman sekarang tidak lagi. Malah, lagi dirotan, lagi memberontak.
Zaman kini penuh dengan informasi. Anak-anak dibesarkan dengan kemudahan internet di rumah. Semuanya dalam genggaman mereka. Jadi persekitaran mereka sudah berubah. Persekitaran memang mempengaruhi perkembangan si anak.

Oleh sebab itu, mereka lebih mahukan kebebasan dan bersikap demokrasi. Inilah yang menjadi cabaran besar buat ibu bapa zaman kini.

3 Peringkat dalam Mendidik Anak

Peringkat pertama ketika usia 7 tahun pertama. Ketika ini mereka hanya ingin bermain. Permainan adalah rakan terbaik mereka. Mereka juga inginkan kasih sayang. Tanpa kasih sayang yang cukup, emosi mereka akan terganggu. Oleh sebab itu, sekiranya ibu bapa menghalang anak meneroka atau bermain, anak-anak akanmembeontak, seolah-olah ibu bapa tidak faham dan tidak kenal anaknya sendiri.

Peringkat kedua ketika usia 7 tahun kedua (8-14 tahun). Pada usia ini, ibu bapa perlu ingat bahawa inilah peringkat “disiplin”. Mendisiplinkan anak dan tegas dengan mereka adalah ketika peringkat ini. Oleh sebab itu, saranan Rasulullah adalah merotan anak yang tidak solat ketika usia 10 tahun.  Jika umur anak sudah mencecah 17 tahun, apa kesan rotan terhadap mereka? Lari dari rumah, memberontak atau melawan semula. Peringkat remaja bukanlah peringkat yang sesuai untuk merotan.

Peringkat ketiga ketika usia 7 tahun kedua (15-22 tahun). Pada umur ini, ibu bapa perlu menjadi kawan kepada anak. Lebih banyak berbincang daripada mengarah. Zaman inilah yang kebanyakan ibu bapa menghadapi masalah. Pendekatan yang digunakan seringkali berunsur kekerasan. Sedangkan mereka lahir dalam zaman demokrasi, zaman yang membentuk pemikiran mereka untuk bebas bersuara. Jadi kaedah ibu bapa dalam mendidik anak haruslah selari dengan peredaran zaman. Bukanlah memanjakan mereka, akan tetapi mendengar pendapat mereka. Anak-anak ketika usia ini sangat menghargai orang tua yang ingin mendengar isi hati mereka.

Kita bagaimana? Anak kita  berada pada tahap yang ke berapa? Adakah kita benar-benar faham keperluan anak kita sekarang?

Wednesday, February 8, 2012

Hormatilah Gurumu



Guru adalah insan yang sangat besar jasanya kepada kita semua. Sebut sahaja perkataan guru, cikgu, mursyid dan apa jua yang sama dengannya, pasti akan terbayang difikiran seseorang yang mengajar ilmu, menunjukkan kesalahan, memberi nasihat, latihan dan panduan.

Pendek kata mereka adalah insan yang menunjukkan kita sesuatu ilmu yang membuatkan kita yang asalnya tidak tahu, menjadi tahu.  Tanpa guru siapalah kita pada hari ini. Jika kita bergelar doktor, peguam, jurutera dan saintis, itu semua adalah hasil daripada didikan guru-guru kita sejak kita tadika, sekolah dan universiti. Merekalah yang membentuk kita menjadi seperti sekarang.

Islam amat menitikberatkan adab seorang murid terhadap gurunya. Adalah menjadi suatu kewajiban bagi kita untuk hormat kepada guru meskipun mereka tidak lagi mengajar kita. Seorang guru sudah pasti mempunyai pengetahuan yang tinggi tentang sesuatu bidang sehingga mampu mengajar orang lain. Oleh sebab itulah menghormati mereka adalah dituntut oleh syarak sebagaimana firman Allah S.W.T :

"Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu." (An-Nisa' :59)

Pernah diceritakan tentang Imam Syafie menghormati gurunya. Pada suatu hari, sedang beliau memberi kuliah kepada ribuan pelajar-pelajarnya, masuklah seorang badwi yang amat comot serta amat busuk sekali.
Melihat sahaja badwi itu masuk, Imam Syafie lantas berhenti daripada memberi kuliah dan mendekati badwi itu serta memeluknya dengan erat. Tergamam anak muridnya melihat perlakuan Imam Syafie itu. Selesai sahaja memberi kuliah, maka bertanyalah anak muridnya kepada Imam Syafie mengapa beliau memeluk badwi tersebut.

Imam Syafie berkata bahawa walaupun badwi itu busuk dan comot, tetapi badwi itu ialah gurunya. Sebab itu dia memeluk badwi tersebut sebagai cara menghormati guru. Makin terpegun pelajar-pelajarnya apabila diberitahu tentang badwi yang jahil itu menjadi guru Imam Syafie.
Jawab Imam Shafie " Pada suatu hari, sedang aku menulis kitab fekah , aku mempunyai satu masalah iaitu bagaimanakan nak mengenali dan membezakan di antara anjing yang cukup umur dengan anjing yang belum cukup umur. Lalu aku fikir tentu badwi tau kerana badwi banyak memelihara anjing untuk mengawal kambing-kambing mereka.
Aku pun bertanya hal tersebut kepada badwi yang ku peluk tadi. Badwi itu menerangkan bahawa anjing yang cukup umur mengangkat sebelah kaki belakang apabila kencing, manakala anjing yang tidak cukup umur tidak mengangkat kakinya bila kencing. Dengan panduan badwi itulah, maka aku dapat menyiapkan kitabku itu" Begitulah ceritanya. Walaupun terlalu sedikit jasa badwi itu kepadanya, Imam Shafie amat menghargainya dan menghormati sehingga menggelarnya guru.
Rasulullah s.a.w bersabda:

" Tidak termasuk umatku, orang yg tidak hormat orang tua, tidak mengasihi orang muda dan tidak mengiktiraf orang alim di antara kami." (Riwayat Ahmad)

Kebelakangan ini, pelajar kurang mengambil berat soal hormat-menghormati dengan guru. Sudah menjadi sesuatu yang biasa bagi pelajar yang melawan guru malah ada yang berani mencederakan guru yang mengajarnya ilmu. Hal ini amat bercanggah dengan adab pelajar dalam Islam. Saidina Ali juga pernah berkata, "Barang siapa yang mengajar aku walaupun satu huruf maka dia adalah tuan kepada ku." Tuan yang dimaksudkan oleh Saidina Ali adalah gurunya.

Terdapat banyak cara menghormati guru kita. Jika ilmuan terdahulu yang terkenal dengan ketokohan ilmunya menghormati guru mereka, maka mengapa kita yang tidak menjadi tokoh dan ilmuan berani melanggar adab berguru.

Adab ulama salaf dan ilmuan terdahulu dengan guru mereka ialah Mereka merendah diri terhadap ilmu dan guru dan sentiasa menurut perintah serta nasihat guru dan sentiasa meminta pendapat serta pandangan  guru dalam setiap urusan mereka.

Mereka mentaati setiap arahan serta bimbingan guru umpama seorang pesakit yang tidak tahu apa-apa yang hanya mengikut arahan seorang doktor pakar yang mahir. Mereka juga sentiasa berkhidmat untuk guru-guru mereka dengan mengharapkan keredhaan dan balasan pahala serta kemuliaan di sisi Allah s.w.t.

Ulama terdahulu tidak pernah sama sekali menggelar guru mereka dengan nama yang buruk. Bahkan mereka juga tidak pernah memanggil guru dengan panggilan "engkau" dan "awak".  Al-Khatib berkata: Hendaklah dia berkata "Wahai guru, apakah pendapat kamu mengenai hal ini?" dan kata-kata seumpamanya. Dan tidak menggelarkannya dengan namanya kecuali disertakan dengan gelaran-gelaran yang menunjukkan penghormatan serta takzim kepadanya. Misalnya syeikh ataupun ustaz atau syeikh kami.

Mereka tidak sekali-kali berbantah-bantah ataupun berlawan cakap dengan guru. Sesungguhnya berbantah-bantah itu secara umumnya sudah merupakan suatu perbuatan yang keji dan terlarang, apatah lagi untuk berbantah-bantah dengan guru yang merupakan pembimbing serta qudwah. Perbuatan ini akan menjauhkan mereka sebagai pelajar daripada kebaikan dan merupakan penjerumus kepada kejahatan dan ianya adalah penyebab diharamkan ke atas mereka bermacam-macam bentuk kebaikan.

Jika mereka berhajat kepada guru mereka di luar waktu mengajar sedangkan guru tersebut sedang berehat ataupun tidur, maka guru itu tidak akan diganggu. Mereka akan menunggu sehingga guru tersebut terjaga dari tidur ataupun selesai dari berehat. Ibnu 'Abbas r.a pernah mendatangi salah seorang daripada sahabat Rasulullah s.a.w untuk bertanya kepadanya mengenai suatu hadith. Lalu dikatakan kepadanya: Dia sedang tidur. Maka duduklah Ibnu 'Abbas di muka pintu. Lalu dikatakan kepadanya: Tidak perlukah kita mengejutkannya? Ibnu 'Abbas pun menjawab: Jangan.

Begitulah hormatnya ulama' dan ilmuan Islam terdahulu. Disebabkan itulah mereka menjadi tokoh besar dan dihormati pula sehingga kini kerana mereka begitu menjaga adab dengan guru masing-masing. Semoga kita semua termasuk dalam kalangan mereka yang menghormati guru. insyaAllah.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...