Friday, November 25, 2011

TAZKIRAH - Adab Untuk Kanak-kanak

 


Hubungan silaturahim antara seseorang individu dengan orang lain mengeratkan persaudaraan sesama agama. Syariat menentukan bahawa adab-adab sosial ini perlu ditanam dan disemai di peringkat kanak-kanak lagi.agar kesebatian hubungan silaturahim berakar umbi di hati mereka.

Adab Terhadap Ibu Bapa

Pengorbanan ibu bapa melahirkan, mengasuh, membimbing, dan membesarkan anak-anak tidak boleh dipertikaikan lagi. Tiada ganjaran wang ringgit dan harta benda yang dapat membalas jasa mereka.

Justeru, sebagai menghormati ibu bapa dan orang lain yan ada kaitan dengan mereka seperti datuk, nenek dan saudara mara, maka kita dianjurkan sentiasa menyumbangkan bantuan kepada mereka.

Didikan Awal Ibu Bapa Kepada Anak-Anak

  • Anak-anak dianjurkan semenjak dari kecil lagi mencium tangan ibu bapa dan orang tua setiap kali bertemu.
  • Bertutur di hadapan mereka dengan tutur kata yang lemah lembut dan penuh rasa hormat.
  • Sering merujuk dan meminta nasihat ibu bapa dalam menangani masalah kehidupan hari ini.
  • Ajarlah kepada mereka sentiasa menziarahi ibu bapa atau jiran tetangga terutamanya ketika mereka uzur dan sebagainya.

Adab Terhadap Guru

Para ibu bapa juga diingatkan supaya mendidik anak-anak dari kecil lagi untuk menghormati guru dalam menunaikan haknya.

Guru-guru yang menabur jasa memberi ilmu pengetahuan, tunjuk ajar dan bimbingan terhadap anak muridnya memang sepatutnya dihormati. Lebih-lebih lagi guru agama dan alim ulama yang mengajar dan membimbing dalam soal-soal akidah, hukum hakam agama, ibadah dan yang berkaitan dengan akhrat.

Nabi SAW bersabda yang diriwayatkan oleh al-Tabrani daripada Abu Hurairah r.a yang maksudnya;


Pelajarilah ilmu, pelajari ketenangan dan kesopanan dan rendahkan diri mu terhadap orang yang kamu ambil ilmunya ( guru ).
Adap dengan Rakan, Jiran dan Tetamu

  • Memilih sahabat atau teman yang baik akhlak dan budi pekertinya.
  • Memberi salam dan menjawab salam apabila berjumpa.
  • Memenuhi undangannya jika dijemput.
  • Menziarahinya ketika sakit
  • Memberi bantuan ketika dalam kesusahan.
  • Tidak sesekali menyakitkan hatinya
  • Berilah layanan yang sewajarnya kepada tetamu yang datang ke rumah kita.
Firman Allah SWT, dalam Surah al-Nisa' ayat 36 maksudnya;


Dan berbuat baiklah kepada kedua-dua ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang miskin, tetangga dekat dan jauh, teman sejawat dan orang yang berjihad.
Melalui kenyataan di atas, dapat kita lihat betapa pentingnya peranan ibu bapa dalam mendidik kanak-kanak. Anak-anak yang mendapat didikan ini, akan memiliki kesihatan jasmani, kemuliaan akhlak dan berperwatakan yang disukai ramai.

Semoga kita sama-sama beroleh keberkatan kehidupan di dunia dan di akhirat.

Ya Allah, berikan kami kebahagian di dunia dan berikan juga kepada kami kebahagiaan di akhirat, jauhkanlah kami daripada azab api neraka Mu.....Amin.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...