Wednesday, December 7, 2011

Didik Anak Tahu Soal Hak Milik


Bagi mengelakkan anak-anak mengambil barang orang lain tanpa hak, mereka perlu didedahkan dengan soal kejujuran, amanah, serta pemilikan atau hak.

(1) Sebenarnya sejak dari kecil anak-anak perlu difahamkan dengan konsep hak milik. Setiap kali ibu bapa menghalang anaknya dari barang milik orang lain, mereka perlu menjelaskan bahawa barang itu adalah milik orang lain. Katakan kepadanya seperti:

'Tak boleh ambil ni. Barang ni bukan kita punya. Barang ini Osman yang punya'

(2) Jika anak-anak dibawa ke kedai, jelaskan juga bahawa sesuatu barang hanya boleh diambil selepas dibayar harganya. Bila anak itu sudah makin bijak, bolehlah ibu bapa melatih mereka melakukan jual beli. Latihan ini bukan sahaja dapat meningkatkan keyakinan diri, bahkan dapat memberikan kefahaman tentang konsep hak milik dan kepunyaan. Secara tidak langsung mereka dapat mengetahui kesalahan mengambil hak orang lain.

(3) Selain itu, ibu bapa juga bertanggungjawab untuk menjelaskan tentang dosa mencuri. Berikanlah ancaman balasan api neraka kepada mereka yang mencuri. Tekankan juga tentang betapa seriusnya kesalahan mencuri sehingga Islam menetapkan hukuman potong tangan ke atas mereka yang disabitkan kesalahan mencuri.

(4) Selain itu anak-anak juga perlu didedahkan dengan kisah-kisah teladan berkaitan kejujuran.
Umpamanya kisah seorang anak gadis dan ibunya yang menjual susu. Si ibu ingin mencampurkan susu dengn air untuk mendapat untung yang lebih. Lantas si anak mengingatkan tentang larangan Amirul Mukminin Umar Al-Khattab agar para penjual tidak mencampurkan air ke dalam susu.

Lantas si ibu memberikan alasan:
'Ah! Kalau kita campur pun, mana Amirul Mukminin boleh tahu'.

Maka si anak memberikan jawapan yang sangat bermakna:
'Jika Amirul Mukminin tidak melihat kita, tetapi Tuhan Amirul Mukminin tetap melihat kita!'

Begitu juga kita Abdullah bin Dinar yang berjalan bersama dengan Umar al-Khattab ke Makkah. Dalam perjalanan, mereka terserampak dengan seorang penggembala dari atas gunung. Maka Umar cuba mengujunya dengan berkata: 

'Wahai penggembala, juallah kepada ku seekor dari kambing itu. Maka jawab pengembala:'Sesungguhnya aku hanya hamba sahaya'.

Umar berkata lagi:'Katakanlah sahaja kepada tuan mu bahawa kambing itu dimakan oleh serigala.'

Penggembala itu menjawab dengan ringkas tapi padat:
'Kalau begitu, dimanakah Tuhan?'.

Umar menangis mendengar jawapan itu. Lalu beliau mengikutnya pulang menemui tuannya, dan Umar membeli hamba si penggembala itu untuk membebaskannya.

Demikianlah beberapa contoh kejujuran tinggi yang dapat meleburkan sifat tamak haloba dan khianat. Anak-anak yang ditanam rasa kehadiran Allah tentunya akan menjauhi sifat mencuri. Mudah-mudahan anak-anak kita semua dapat dilatih dengan sifat dan akhlak mula sehingga meninggalkan sifat jahat seperti mencuri.


Biodata Kolumnis

Ustaz Fathi Yusuf merupakan graduan ijazah Undang-Undang Syariah UIAM dan master Undang-Undang UKM manakala isterinya, Ustazah Ros Izanuri Jamaluddin merupakan graduan Bahasa Arab UIAM. Ustaz Fathi sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang PhD di UIAM manakala Ustazah Ros Izanuri mengajar di SMK Taman Melawati, Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...