Thursday, August 27, 2009

Ibu bapa penggerak cinta kepada al-Quran




Oleh Wan Marzuki Wan Ramli


GENERASI muda hari ini banyak terdedah dengan pelbagai jenis budaya hidup tidak menentu hingga ada waktunya mereka sendiri menjadi keliru untuk mengikut rentak budaya itu.

Sedangkan prinsip hidup memerlukan pegangan kuat dan utuh untuk seseorang menyelamatkan diri daripada terjerumus ke kancah kehidupan yang tidak diredai Allah.

Amalan yang boleh mengelakkan seseorang itu khususnya generasi muda daripada terikut gejala tidak sihat yang dibawa budaya asing ialah mendekatkan diri dengan al-Quran.

Al-Quran memiliki pelbagai hikmah, pengajaran, sejarah, kisah perjuangan nabi dan perkhabaran ghaib yang menjanjikan kesejahteraan serta kebahagiaan dunia dan akhirat.

Firman Allah bermaksud:

Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya dari Allah dan kitab yang menerangkannya. Dengan kitab itulah Allah memimpin orang yang mengikuti keredaan-Nya. (Surah al-Maidah, ayat 15-16)


Membaca al-Quran dengan penuh penghayatan adalah berbeza dengan membaca tanpa mempunyai matlamat yang tertentu.

Mengenali al-Quran hanya dengan membaca tanpa mengikut hukum tajwid, memahami tafsiran ayat tidak memberi kesan kepada fizikal dan mental orang yang membacanya.

Oleh itu, wajar bagi ibu bapa membimbing anak menjadi generasi celik al-Quran selaras usaha kerajaan melalui program j-QAF (Bahasa Arab dan Fardu Ain) yang kini sedang diajar di sekolah rendah.

Namun, dalam usaha menggalakkan anak mempelajari dan mengenali al-Quran lebih dekat, ibu bapa juga perlu memberi contoh yang baik.

Jika anak muda mudah menghafal lirik lagu, pastinya mereka juga boleh menghafal ayat suci, doa dan zikir jika ini sudah dibiasakan dalam kehidupan harian mereka.

Alangkah indahnya jika ayat al-Quran sentiasa bermain di bibir mereka ketika melakukan aktiviti kegemaran.

Barangkali ramai anak muda hari ini dibelenggu permasalahan diri kerana kealpaan terhadap al-Quran menyebabkan mereka mengambil tindakan bertentangan ajaran agama.

Sehingga ada yang terbabit dengan arak, dadah, pil khayal, lari dari rumah, ponteng sekolah dan kegiatan negatif lain sebagai cara melepaskan diri daripada terus dibelenggu tekanan.

Dalam saat begini mereka sepatutnya kembali mencari ketenangan diri dan kekuatan dengan membaca al-Quran atau paling tidak, mendengar alunan ayat suci itu.

Firman Allah bermaksud:

Dan kami turunkan kepadamu kitab untuk menjelaskan sesuatu dan petunjuk serta rahmat dan khabar gembira bagi orang yang berserah diri kepada Allah.¡¨ (surah al-Nahl, ayat 89)

Membaca al-Quran adalah ibadat dan Allah memberi ganjaran pahala kepada mereka yang memartabatkan isi kandungan kitab suci serta mengamalkannya.

Antara kaedah mudah yang boleh dimulakan oleh ibu bapa untuk mendekatkan diri mereka dan anak dengan al-Quran ialah:
  • Mengkhususkan masa di antara Maghrib dan Isyak untuk duduk bersama ahli keluarga dan bertadarus al-Quran. Selain dapat bersama membetulkan bacaan, ia juga merapatkan hubungan kekeluargaan.
  • Seandainya ibu bapa sendiri tidak mahir membaca al-Quran, dapatkan seorang guru yang mampu membantu ahli keluarga belajar membaca ayat al-Quran dengan betul.
  • Semarakkan kehidupan berkeluarga dengan bercerita kisah nabi dari al-Quran. Setiap ahli keluarga boleh bergilir-gilir bercerita.
  • Jika bermusafir, biasakan mendengar rakaman bacaan ayat suci al-Quran atau alunan zikir.
  • Tidurlah dengan alunan bacaan ayat al-Quran. Biasakan menidurkan anak dengan lafaz ayat suci al-Quran.

Usaha lain yang boleh dilakukan untuk melengkapkan cara mempelajari dan mendalami al-Quran ialah:
  • Melatih anak dan remaja membaca al-Quran dengan sempurna
  • Melatih anak menulis semula ayat yang dibaca.
  • Memberi mereka kefahaman mengenai isi kandungan Al-Quran.
  • Melatih mereka menghafaz ayat al-Quran.
  • Mendidik mereka mendalami al-Quran dalam kehidupan.

Apabila bibir sentiasa dibasahi dengan bacaan al-Quran, ia akan menjadi sebati dengan jiwa, mengalir bersama darah, menjalar ke seluruh urat saraf dan kesannya akan terpamer melalui ketrampilan individu generasi al-Quran itu.

---------------------------------------oOo------------------------------------

APA PUNCA ANAK DERHAKA




Sabda Rasulullah s.a.w. "Berguraulah dengan anak kamu kala usianya satu hingga tujuh tahun . Berseronok dengan mereka, bergurau hingga naik atas belakang pun tak apa. Jika suka geletek, kejar atau usik anak asalkan hubungan rapat. Lepas tujuh hingga 14 tahun kita didik dan ajar, kalau salah pukullah dia (sebagai pengajaran)"


dimana yang nak dipukul tu? Tapak kakinya... .. bukan muka, punggung, telinga dan ditempat-tempat yang sensitif... . itu salah...

"Jika dia bijak dan menang dalam sebarang pertandingan sekolah, ucapkan tahniah. Tidak salah kita cium atau peluk mereka sebagai tanda penghargaan. Kala umur mereka 14 hingga 21 tahun jadikan kawan . Tetapi selalunya usia beginilah ibu bapa mula merenggangkan hubungan dan ini menyebabkan anak derhaka".

Yang penting anak-anak harus dilatih sembahyang jemaah bersama, latih cium tangan dan peluk penuh kasih dan sayang, maka mereka tidak akan tergamak menderhaka .

"Saya pernah tinjau, anak-anak yang lari daripada rumah, berpunca daripada rasa bosan. Belum sempat letak beg sekolah, ibu dah suruh macam-macam. Si anak rasa tertekan dan menyampah dengan persekitaran dan rumahnya. Boleh disuruh tetapi berikan hak mereka di rumah. Yang penting dia balik ke rumah suka, dan pergi sekolah pun seronok.

"Mungkin ibu bapa punya alasan tidak rapat dengan anak-anak kerana sibuk. Kita boleh cuba cara lain, balik di tengah malam, anak-anak sudah tidur, pergi bilik dan cium dahinya. Hubungan rohani tetap subur, walaupun anak tidur tetapi jiwanya sentiasa hidup." Jangan kita tunjuk sikap kita yang panas baran, pemarah dan ada kuasa veto kepada mereka, jangan suka mengherdik mereka dengan perkataan "bodoh, kurang ajar, sumpah seranah dan sebagainya yang merupakan doa kepada mereka". inilah yang menyebabkan mereka derhaka kepada kita...

DOA ANAK-ANAK TERMAKBUL
Lazim orang tua, pantang anak menegur walaupun tahu mereka bersalah. Jangan rasa tercabar kerana pesan orang tua-tua, bisa ular tidak hilang walau menyusur di bawah akar. Sayyidina Umar berkata, kanak-kanak tidak berdosa dan doa mereka mudah diterima. Begitu juga dengan Rasulullah, kalau berjumpa anak-anak kecil, Baginda cukup hormat dan sayang sebab anak-anak
tidak berdosa. Lagipun kanak-kanak kalau menegur memang ikhlas dan jangan ambil endah tidak endah.

Perasaan anak juga mesti dihargai, sesetengah orang tua kurang bercakap dengan anak-anak. Kalau menegur pun dengan ekor mata dan herdikan. Si anak rasa tersisih dan tidak dihargai. Kepada kawan tempat mereka mengadu, bila jumpa kawan baik tidak mengapa, tetapi jumpa
yang samseng, ia sudah tentu membawa padah.

BERTAUBAT SEBELUM MELARAT
Jika Tuhan menurunkan hidayah, segeralah insaf dan bertaubat. Tetapi apa caranya jika orang tua telah meninggal sedangkan sewaktu hidupnya kita derhaka dan melawan mereka? Bila insaf, selalulah ziarah kubur emak ayah kita dan bacakan ayat-ayat suci untuknya. Jumpa semula kawan-kawan baik ibu atau jiran-jiran yang masih hidup dan buat baik dengan mereka. Sedekah ke masjid atas nama ibu ayah. Walaupun ibu ayah sudah meninggal, minta maaf berkali-kali semoga ibu redha dan Allah ampunkan dosa.

Allah maha pengampun dan luas rahmatnya. Tetapi jangan ambil kesempatan buat jahat kemudian bertaubat. Hidup tidak tenteram atau bala turun. Cuba kita perhatikan kemalangan yang berlaku setiap hari. Misalnya tayar kereta pecah, jangan lihat dengan mata kasar, selidik apa salah yang telah kita buat hari ini. Pertama bagaimana hubungan kita dengan Tuhan, jika semuanya baik, turun ke peringkat kedua, bagaimana pula hubungan dengan ibu?

"Pastikan hubungan dengannya sentiasa harmoni dan lancar. Tidak rugi menjalinkan hubungan yang baik kerana hayat mereka bukanlah terlalu panjang untuk bersama kita."

HUBUNGAN DENGAN BAPA
Lazim ibu yang dilebihkan, sedangkan bapa menjeruk perasaan kerana tidak dipedulikan anak-anak. "Hubungan dengan bapa sepatutnya sama dengan ibu tetapi dalam konteks Islam, kalau berlaku pertembungan, nabi suruh utamakan ibu dahulu. Tiga kali ibu barulah sekali kepada bapa." Bagaimanapun sebaik-baiknya, kasih sayang dan perhatian biar sama agar kedua-duanya tidak berkecil hati. Begitu juga dengan nenek, walaupun kata-katanya ada
yang mengarut tetapi jangan melawan di depan mereka. Sebenarnya golongan nyanyuk dan tua mencabar kesabaran kita. Walaupun Allah tidak ambil kira kata-kata mereka tetapi kita wajib mentaati dan menghormati golongan tua."


USAH DERHAKA KEPADA MENTUA
Mentua mesti dimuliakan seperti kita menghormati orang tua sendiri. Kalau mereka kecil hati, samalah seperti tersinggungnya hati emak. Kita sayang anaknya kenapa tidak sayang orang yang melahirkannya juga? "Saya tahu, ada menantu kecil hati dan pendam perasaan terhadap mentua yang terlalu ambil berat tentang anaknya. Bersabarlah dan jalin hubungan baik kerana taraf mereka sama seperti ibu bapa kandung," jelasnya.

Kewajipan anak lelaki, pertama kepada Allah, kedua rasul, ketiga emak dan emak mentua, keempat bapa dan bapa mentua dan kelima baru isteri. Isteri kena faham, kalau dia sayang dan melebihkan ibu bapa, itu memang wajar. "Sebaliknya anak perempuan, yang pertama Allah, kedua rasul dan ketiga suami. Jalan pintas ke syurga bagi anak-anak selain Allah adalah emak dan ayahnya. "Perasaan mentua perlu dijunjung kerana mereka berhak ke atas menantu.

Seperti kisah Nabi Allah Ibrahim dengan anaknya Nabi Ismail. Suatu hari, Nabi Ibrahim ke rumah anaknya dan kebetulan Nabi Ismail tidak ada dirumah isterinya pun tidak kenal dengan mentuanya. Menantu berkasar menyebabkan Nabi Ibrahim kecil hati. Dan sebelum balik dia berpesan kepada menantunya suruh suaminya tukar alang rumah kepada yang baru. Bila Nabi Ismail balik, isterinya pun menggambarkan rupa lelaki tersebut menyampaikan pesan. Nabi Ismail sedar itu adalah ayahnya.

Nabi Ismail insaf di sebalik simbol kata-kata ayahnya, bahawa isterinya bukan daripada kalangan wanita yang berakhlak, lalu diceraikan. Nabi Ismali berkahwin kali kedua dan bapanya masih tidak mengenali menantu. Sekali lagi Nabi Ibrahim melawat dan menantunya melayan dengan bersopan santun walaupun tidak kenal siapa NabiIbrahim. Nabi Ibrahim tertarik hati dan sebelum balik berpesan lagi, katakan alang rumah anaknya sudah cukup baik dan jangan ditukar kepada yang lain.

Ada sebanyak 501 tips yang diberikan oleh penulis iaitu Robert D. Ramsey untuk mempertingkatkan potensi anak-anak anda dan seterusnya menempatkan anak-anak anda dikalangan winners. Tips ini menurut penulis jika diamalkan mampu menjadikan anak-anak. Kita sebagai winners. Penulis berpendapat apa yang membezakan antara winners dan losers
Adalah mudah iaitu:-

Winners percayakan diri mereka dan boleh membayangkan diri Mereka dikalangan orang yang berjaya sementara losers merasakan diri Mereka tidak boleh.

Tips;

  1. Mulakanlah hidup anak anda dengan nama panggilan yang baik. Nama panggilan yang kurang baik akan menyebabkan anak anda malu dan merasa rendah diri. (Dalam Islam sendiri nama panggilan yang baik adalah digalakkan).
  2. Berikan anak anda pelukkan setiap hari (Kajian menunjukkan anak yang dipeluk setiap hari akan mempunyai kekuatan IQ yg lebih kuat daripada anak yang jarang dipeluk)
  3. Pandanglah anak anda dengan pandangan kasih sayang (Pandangan ini akan membuatkan anak anda lebih yakin diri apabila berhadapan dengan persekitaran)
  4. Berikan peneguhan setiap kali anak anda berbuat kebaikan (Berilah pujian, pelukkan, ciuman, hadiah ataupun sekurang-kurangnya senyuman untuk setiap kebaikan yang dilakukannya).
  5. Janganlah mengharapkan anak anda yang belum matang itu melakukan sesuatu perbuatan baik secara berterusan , mereka hanya kanak-kanak yang sedang berkembang. Perkembangan mereka buatkan mereka ingin mengalami setiap perkara termasuklah berbuat silap.
  6. Apabila anda berhadapan dengan masalah kerja dan keluarga,pilihlah keluarga (Seorang penulis menyatakan anak-anak terus membesar. Masa itu terus berlalu dan tak akan kembali).
  7. Di dalam membesarkan dan mendidik anak-anak, janganlah tuan/puan mengeluh . Keluhan akan membuatkan anak-anak merasakan diri mereka beban.
  8. Dengarlah cerita anak anda, cerita itu tak akan dapat anda dengari lagi pada masa akan datang. Tunggu giliran anda untuk bercakap (Ini akan mengajar anak anda tentang giliran untuk bercakap)
  9. Tenangkan anak anda setiap kali mereka memerlukannya .
  10. Tunjukkan kepada anak anda bagaimana cara untuk menenangkan diri . Mereka akan menirunya.
  11. Buatkan sedikit persediaan untuk anak-anak menyambut harijadinya .Sediakanlah hadiah harijadi yang unik walaupun harganya murah.Keunikan akan membuatkan anak anda belajar menghargai. (Anak2 yg dtg daripada persekitaran yang menghargai akan belajar menghargai orang lain).
  12. Kemungkinan anak kita menerima pengajaran bukan pada kali pertama belajar. Mereka mungkin memerlukan kita mengajar mereka lebih daripada sekali.
  13. Luangkanlah masa bersama anak anda diluar rumah, peganglah tangan anak-anak apabila anda berjalan dengan mereka . Mereka tentu akan merasa kepentingan kehadiran mereka dalam kehidupan andasuami isteri.
  14. Dengarlah mimpi ngeri anak-anak anda. Mimpi ngeri mereka adalah begitu real dalam dunia mereka.
  15. Hargailah permainan kesayangan anak anda. Mereka juga dalammasa yang sama akan menghargai barang-barang kesayangan anda.Elakkan daripada membuang barang kesayangan mereka walaupun sudah rosak. Mintalah kebenaran mereka sebelum berbuat demikian.
  16. Janganlah membiarkan anak-anak anda tidur tanpa ciuman selamat malam,
  17. Terimalah yang kadangkala anda bukanlah ibubapa yang sempurna . Ini akan mengurangkan stress menjadi ibu bapa.
  18. Jangan selalu membawa bebanan kerja pejabat ke rumah. Anak-anak akan belajar bahawa kerja pejabat selalunya lebih penting daripada keluarga.
  19. Anak menangis untuk melegakan keresahan mereka tetapi kadangkala cuma untuk sound effect sahaja. Bagaimanapun dengarilah mereka, dua puluh tahun dari sekarang anda pula yang akan menangis apabila rumah mula terasa sunyi. Anak-anak anda mula sibuk mendengar tangisan anak mereka sendiri.
  20. Anak-anak juga mempunyai perasaan seperti anda.

----------------------oOo----------------------------

Tuesday, August 25, 2009

Pisah agama dan politik tidak masuk syurga � sarjana Islam


Oleh Mazlan Jusoh

Wed | Aug 19, 09 | 3:11:24 pm MYT

KOTA BHARU, 19 Ogos: Siapa ekstrem, antara ulama yang mahu memperbetulkan aqidah umat Islam atau orang yang mengaku Islam namun tidak sedar aqidah tergelincir?

Aqidah yakni pegangan hidup seseorang muslim. Ia akan menjadi rosak apabila mereka tidak yakin hukum hakam yang diturunkan oleh Allah kepada umat manusia.

Sedangkan dalam surah Al Maaidah:49 Allah berfirman yang bermaksud;
"Engkau hukumlah antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah dan janganlah engkau turut hawa nafsu mereka dan berwaspadalah terhadap mereka supaya jangan mereka menyesatkan engkau dari sebahagian apa yang telah diturunkan Allah kepada engkau.

"Jika mereka berpaling, ketahuilah bahawa hanya Allah mengkehendaki supaya mereka ditimpa seksaan kerana sebahagian dosa mereka sendiri. Sesungguhnya kebanyakan manusia orang-orang fasik."
Maka sesiapa yang engkar terhadap suruhan agama itu ianya secara jelas menzalimi dirinya sendiri.

Bekas pensyarah kanan pengajian Islam UKM, Dr Muhammad Muhd Daud berkata, sesiapa yang menolak ajaran yang terkandung dalam al Quran secara jelas telah tergelincir aqidahnya.

"Misalnya tindakan mengasingkan politik dan agama dalam pentadbiran negeri atau negara ia boleh merosakkkan aqidah seseorang.

"Begitu juga pemerintah yang beragama Islam tetapi tidak mahu melaksanakan hukum yang ditetapkan agama dan lebih parah lagi apabila pihak yang mahu melaksanakan Islam cuba dihalang melalui kuasa yang mereka miliki," katanya di sini.

Akhbar hari ini melaporkan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai ekstrem apabila menganggap dasar yang dibawa Umno (pisahkan agama dan politik) tidak akan membawa ahlinya ke syurga.

Ekoran itu pelbagai pihak mengecam Menteri Besar Kelantan itu. Antaranya Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang dilaporkan menyebut tiada nas dalam al Quran dan Hadis mensyaratkan seorang itu perlu menjadi ahli sesuatu parti sebelum boleh masuk syurga.

Dr Mohamad yang juga Adun Tendong berkata, dalam situasi sekarang semua orang tahu pihak mana yang berjuang mendaulatkan Islam dan kumpulan mana yang meminggirkan Islam.
Menurutnya pihak yang bersekongkol dengan pemerintah yang tidak ada cita-cita untuk menegakkan agama Islam tentunya akan lebih jauh daripada mendapat balasan syurga.

Bekas pemimpin pelajar Melayu di Universiti Al Azhar Mesir, Ustaz Abdullah Abdul Razak berkata, apabila sesebuah parti itu memisahkan politik dan iman sudah tentu ia tersasar jauh daripada landasan Islam.

"Politik adalah sebahagian amalan dalam agama. Ini kerana pada zaman Rasulullah saw masjid dijadikan pusat mentadbir, mengatur strategi perang dan mengurus zakat.

"Latihan perang juga diadakan di halaman masjid di zaman baginda. Dan usaha memisahkan agama dan politik dimulakan agama Kristian.

"Dalam agama Kristian orang kuat agama hanya dibenarkan berada di gereja dan pentadbiran negara diurus orang politik," katanya.

Beliau yang juga Ketua Unit Dakwah Halaqat, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan berkata, apabila perkara pokok dalam Islam diketepikan sudah tentu ia merosakkan aqidah seseorang.

Dan katanya apabila aqidah rosak macam mana seseorang itu mahu mendapat balasan syurga di akhirat kelak.

Oleh itu katanya kenyataan Mursyidul Am PAS mengenai mana-mana pihak yang mendokong parti yang memisahkan agama dan politik tidak akan masuk syurga adalah tepat sekali. _

Takwim 2012

JANUARI

1.Sambtuan Jubli Perak,PASTI Nurul Hayah,Santan Padang Besar (26,27,28 & 29/1/2012)

FEBRUARI

1.Kursus Pra Asas Perguruan PASTI (4/2/2012)
2.Bengkel Pembangunan Kurikulum Petang (12/2/2012)
3.Bank Soalan (15/2/2012)
4.Bengkel Pembinaan Item Soalan & Kursus Bahasa Inggeris (18-19/2/2012)

MAC

1.Usrah Perdana (2/3/2012)
2.Muktamar MGP (3/3/2012)
3.KAPP (9,10 & 11/3/2012)
4.Kursus Kurikulum 4 Tahun (K4T) 17/3/2012)
5.Pra Sambutan 25 Tahun PASTI Negeri Perlis

APRIL

1.Kursus Bahasa Arab (1/4/2012)
2.Usrah Perdana (6/4/2012)
3.Sukan PASTI Negeri/Kursus HSP Kurikulum 5 & 6 Tahun (28 & 29/4/2012)

MEI

1.Hari Guru PASTI (17/5/2012)
2.Ijtimak,Konvokesyen & Sambutan Hari Guru PASTI (26/5/2012)


Galeri




JUN 2009


PERTANDINGAN BOLA JARING DAN BOLA SEPAK PASTI PERINGKAT KEBANGSAAN
Photobucket



MEI 2009

SAMBUTAN HARI GURU PASTI PERINGKAT KEBANGSAAN
selamat hari guru

Sunday, August 23, 2009

Dokumen Pekeliling INFLUENZA H1N1

PEKELILING INFLUENZA H1N1 (SELSEMA BABI)

Perkara di atas dirujuk.
Mengikut data terkini, penularan wabak H1 N1 ini telah mengorbankan tujuh nyawa di seluruh negara.Justeru, PASTI di semua peringkat dinasihati mematuhi langkah-langkah berikut :

  1. Mendapatkan maklumat daripada media massa dan memberikan taklimat tentang bahaya wabak ini kepada semua guru dan murid-murid PASTI.
  2. Mematuhi langkah-langkah yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan berkenaan penjagaan kebersihan di semua premis PASTI.
  3. Menasihati penjaga-penjaga supaya mengambil tindakan segera menghantar anak-anak menjalani pemeriksaan di pusat kesihatan jika dijangkiti demam.
  4. Memasukkan slot doa mohon dihindarkan oleh ALLah swt. daripada wabak ini pada setiap perhimpunan pagi .
  5. Tindakan menutup PASTI selama seminggu boleh diambil oleh pengurusan PASTI di peringkat cawangan jika terdapat murid-murid yang disahkan telah dijangkiti Influenza H1 N1 ( selesema babi ) ini.
Sekian untuk tindakan tuan-puan dan diakhiri dengan ‘ jazakumuLLah khairan kathira “

VISI, MISI, MATLAMAT, OBJEKTIF, FALSAFAH DAN PIAGAM PELANGGAN

VISI

Melahirkan Insan Soleh di Malaysia melalui pendidikan pra sekolah sebagai elemen terpenting

MISI

Meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran, pengurusan serta kuantiti PASTI di Malaysia bagi menjadikan PASTI pilihan utama kepada masyarakat yang cintakan pendidikan Islam


MATLAMAT PENUBUHAN PASTI

Matlamat Am

  1. Mengembalikan pemafahaman masyarakat umum kepada kepentingannya pendidikan Islam dan meransang kepekaan kebangkitan Islam sejagat.
  2. Mengadakan pendidikan awal (pra-sekolah) bagi melahirkan insan yang beriman, berilmu, beramal soleh dan berakhlak mulia.
  3. Menyediakan wadah awal pendidikan berorentasikan harakah Islamiah untuk jangka masa panjang.
  4. Menjadi pusat untuk membentuk fikrah masyarakat yang sedang mengalami dan menghadapi keruntuhan aqidah dan akhlak akibat dari serangan ideologi sekular dan kebendaan.
  5. Menyedarkan masyarakat umum tentang hakikat tarbiyah Islamiyyah beristiqamah dan beriltizam dengan Islam.


Matlamat Khas

  1. Menyedar dan meningkatkan kesempurnaan Tauhid agar beramal dengan setiap kebaikan yang diredhai Allah dan RasulNya dan meninggalkan setiap kemungkaran yang dimurkai Allah S.W.T.
  2. Membentuk peribadi insan agar mencontohi peribadi mulia Rasulullah s.a.w.
  3. Memberi galakkan kepada kanak-kanak secara intensif agar mereka dapat menjiwai fitrah kelahiran manusia dan mengabdikan diri hanya kepada Allah
  4. Memberi kesedaran betapa pentingnya bahasa sebagai alat komunikasi dalam kehidupan seharian terutamanya bahasa Al-Quran



OBJEKTIF PENDIDIKAN PASTI

  1. Menyediakan proses pendidikan awal yang berorentasikan sistem pendidikan Islam ke arah melahirkan anak yang soleh, berilmu dan beramal.
  2. Mendidik jiwa dan akal kanak-kanak dengan didikan Islam bersumberkan ajaran Al-Quran dan Hadis.
  3. Membimbing kanak-kanak supaya menghayati ibadah , akhlak dan cenderong melakukan ma’ruf serta meninggalkan mungkar.
  4. Melatih kanak-kanak membaca, menghafaz dan menghayati Al-Quran , doa dan zikir.
  5. Memberi pengetahuan kepada kanak-kanak asas-asas bahasa, matematik dan komunikasi ke arah kebolehan membaca, mengira, menulis dan menghafal.


FALSAFAH PENDIDIKAN

FALSAFAH PENDIDIKAN NEGARA
Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara

FALSAFAH PENDIDIKAN ISLAM
Pendidikan Islam adalah satu usaha berterusan untuk menyampaikan ilmu, kemahiran dan penghayatan Islam berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah bagi membentuk sikap, kemahiran, keperibadian dan pandangan hidup sebagai hamba Allah yang mempunyai tanggungjawab untuk membangun diri, masyarakat, alam sekitar dan negara kearah mencapai kebaikan di dunia dan kesejahteraan di akhirat

FALSAFAH PENDIDIKAN PASTI
Pendidikan PASTI merupakan satu usaha bersepadu dan berterusan ke arah melahirkan generasi tunas Islam yang unggul dari aspek Syakhsiyyah, keilmuan dan amalan-amalan yang bertunjangkan kepada ISLAM, IMAN DAN IHSAN. Mengambil kira potensi dan bakat yang sedia ada, pendidikan PASTI berusaha mengembangkan kemahiran kognitif, psikomotor, bahasa sosio emosi dan sosial selain kepelbagaian bakat serta kecerdasan yang sedia terpupuk di dalam diri tunas Islam. Usaha-usaha PASTI menerusi pembentukan peribadi unggul ini bertujuan mempersiapkan diri mereka menjadi warga yang cintakan negara serta berpegang teguh dan mengamalkan cara hidup Islam dalam kehidupan seharian supaya diredhai oleh Allah S.W,T di dunia dan di akhirat.


PIAGAM PELANGGAN

  1. Pelajar dapat menguasai kemahiran asas 4M (membaca, menulis, mengira and menghafal)
  2. Sentiasa mengemaskini proses pengajaran & Pembelajaran selari dengan perkembangan terkini dalam pendidikan.
  3. Menyediakan suasana pembelajaran kondusif bagi menjamin persekitaran pembelajaran yang sihat.
  4. Sentiasa proaktif terhadap setiap teguran, saranan dan pandangan ke arah kecemerlangan pendidikan PASTI.
  5. Sentiasa mengembangkan potensi murid berdasarkan kecenderungan bakat dan kebolehan masing-masing.

Silibus

Silibus
 
Semua PASTI adalah sama


Silibus secara gambaran kasarnya seperti berikut:-
  • Umur 6 tahun
-Belajar menulis perkataan dan ayat dengan cantik dan tersusun.
-Belajar berfikir secara kreatif dan kritis.
-Belajar membaca dengan lancar (Bahasa Melayu & Inggeris & Jawi)
-Memahami soalan dan menyelesaikan masalah

  • Umur 5 tahun
-Belajar menulis ABC dan perkataan.
-Belajar membaca dan mengeja (Bahasa Melayu & Inggeris & Jawi)
-Belajar supaya berani dan yakin diri menyelesaikan masalah dan menyuarakan pendapat
-Belajar memahami soalan dan cara penyelesaiannya

  • Umur 4 tahun
-Belajar mengenal huruf, (bunyi dan bentuk)
-Belajar menulis dan mewarna (lembutkan tangan dan kawal pergerakan)
-Belajar huruf rumi dan jawi
-Belajar menyebut dengan yakin nama benda dan gambar.


SUBJEK-SUBJEK (Buku PASTI sama disemua negeri)
  1. Bahasa Melayu (membaca & menulis)
  2. Bahasa Inggeris (membaca & menulis)
  3. Jawi (membaca & menulis)
  4. Bahasa Arab (membaca & menulis)
  5. Al- Quran (membaca dan menghafaz)
  6. Pend. Sains Sosial
  7. Matematik
  8. DOA Harian
  9. Amali Solat dan ber wudu'
  10. Pend. Kreativiti
  11. Sirah dan bercerita
  12. Komputer dan teknologi

Saturday, August 22, 2009

Sekapur Sireh


Bismillahirrahmannirrahim..

Assalamualaikum wbt..
Alhamdulillah bersyukur ke hadrat illahi kerana dengan limpah kurnianya kami dapat menghasilkan blog PASTI negeri Perlis yang tidak seberapa ini.

Penghasilan blog ini adalah bertitik tolak daripada perbincangan mesyuarat ALP PASTI negeri Perlis pada 1 Ramadhan 1430H. Memandangkan penyaluran maklumat kini memerlukan medium yang bergerak pantas disamping mengurangkan kos, pihak ALP bersepakat menjadikan blog ini sebagai entiti utama penyaluran maklumat kepada Ibu Bapa, Guru dan AJK.

ALP mensasarkan 50% daripada penduduk bandar Kangar mempunyai internet dirumah dan 30% pelanggan kami berupaya melayari internet untuk mendapatkan maklumat. Berbanding kaedah yang digunakan sebelum ini, maklumat yang disalurkan pihak ALP negeri kepada pelanggan sering tergendala dan kurang effektif. Hal ini menyebabkan pihak ALP negeri mengambil keputusan drastik bagi mengelakkan masalah berlanjutan.

Selain itu, pihak ALP negeri juga memandang serius terhadap perkembangan teknologi terkini dan berharap agar guru-guru PASTI khasnya mengambil peluang untuk belajar memantapkan ilmu Teknologi maklumat khususnya penggunaan peralatan komputer dan teknologi internet.

Oleh itu, penghasilan blogs ini diharapkan dapat memberi impak dan nilai tambah kepada masyarakat umumnya dan pelanggan khasnya di Negeri Perlis yang tercinta.

Sekian, wassalamualaikum wbt.


Berkhidmat Untuk Islam,
Admin.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...