Bagi mereka yang telah mempunyai cahaya mata tentu memahami betapa sukarnya untuk mengawasi tingkah-laku anak-anak, terutamanya dalam 'usia nakal' mereka. Ketika dalam peringkat usia ini, sifat ingin tahu dan ingin mencuba sedang giat berkembang.
Sebagai ibu bapa, kita tentu tidak mahu melihat anak-anak kita terjebak ke dalam aktiviti tidak sihat seperti gangsterisma atau perkara-perkara yang boleh memudharatkan seperti bermain api dan sebagainya. Kita juga ingin mengawasi pergaulan anak-anak kita agar tidak bergaul dengan golongan yang rendah akhlaknya. Dalam usaha kita memainkan peranan sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab, kadang-kala kita tersilap dari segi kaedah menegur anak-anak kita. Akhirnya, niat baik kita bertukar menjadi mimpi buruk.
Antara kesilapan yang sering dilakukan ketika menegur anak ialah dengan menggunakan ayat yang berbentuk negatif. Contohnya, "kenapalah awak ni malas sangat nak baca buku?". Kritikan sedemikian jika diulangi selalu akan menjadi kenyataan. Ini kerana perkataan ibu bapa terhadap anak-anak adalah doa yang makbul. Dari segi psikologi, kritikan yang negatif akan membentuk minda anak yang negatif. Jadi, jangan persalahkan mereka jika mereka benar-benar menjadi malas!
Kesilapan kedua ketika menegur ialah kita asyik menegur berulang-ulang kali tetapi tidak memastikan anak mengikut teguran kita. Contohnya, kita menyuruh anak yang sedang menonton televisyen pergi bersiap untuk bersolat, kita mesti memastikan mereka terus melakukan arahan kita. Jangan mengulangi arahan tersebut beberapa kali. Ini kerana teguran yang sama beberapa kali akan menjadi leteran.
Teguran yang berkali-kali tanpa merubah tingkah-laku anak-anak boleh membawa dua kesan besar. Pertama, mungkin anak akan benci kepada leteran ibu bapa. Kedua, sifat hormat anak-anak kepada ibu bapa akan berkurangan.
Dalam pada itu, ibu bapa perlu konsisten menegur anak-anak yang melakukan kesalahan yang sama. Contohnya, jika hari ini kita tegur anak yang sedang bermain mancis, jika esok dia bermain lagi kita mesti menegur juga. Teguran yang tidak konsisten akan menyebabkan anak keliru. Semalam tidak boleh, hari ini boleh pulak!
Kesilapan ketiga ialah mengugut atau mengancam anak. Anak yang selalu diugut ketika proses tumbesarannya akan menjadikan dia seorang yang penakut bila besar kelak. Malah, kemungkinan juga dia akan jadi tukang ugut pula suatu hari! Ini kerana anak-anak biasanya akan mengikut tingkah laku dan gaya hidup penjaganya.
Akhir sekali, sudahi usaha kita dengan doa. Walaupun kita sudah menegur dan menasihati anak kita dengan baik, tetapi hanya Allah s.w.t. jualah yang dapat mengubah hati mereka. Jika perangai anak-anak tetap tidak berubah, bersabar dan letakkan pengharapan pada Allah s.w.t. Insya-Allah, kita mampu mendidik anak-anak menjadi insan soleh dan solehah.
Berikan kebebasan kepada anak memilih.Salah satu keunikan manusia berbanding hidupan lain ialah keupayaan berfikir dan seterusnya membuat kesimpulan yang rasional. Walaupun semua orang berkeupayaan melakukan proses kognitif ini, namun tidak semua orang berani mengemukakan pandangan atau hasil pemikirannya. Hal ini berlaku antaranya disebabkan oleh didikan dan persekitaran yang dilalui oleh seseorang semasa zaman kanak-kanaknya.
Kanak-kanak biasanya kurang diberikan kebebasan untuk membuat pilihan atau keputusannya sendiri. Kebiasaannya ibubapalah yang menjadi 'dicision- maker'. Secara tidak langsung, amalan ini seolah-olah mengongkong kebebasan mereka untuk memberi pandangan; sekaligus mematikan sifat kreativiti mereka. Lama-kelamaan, mereka juga akan hilang keyakinan diri.
Sepatutnya, ibubapa melibatkan anak-anak dalam proses membuat keputusan. Mereka seharusnya diberi peluang mengemukakan pandangan. Ini akan membantu mereka dalam perkembangan minda dan sekaligus anak-anak akan merasakan diri mereka lebih dihargai. Contohnya, apabila kita hendak membeli baju anak-anak. Sebaiknya bawalah bersama anak untuk memilih bajunya sendiri. Sekiranya kita merasakan mereka belum pandai membuat pilihan yang terbaik, pilihlah beberapa helai dan biarlah keputusan akhir dilakukannya sendiri.
Dalam Islam, kita digalakkan untuk bermusyawarah. Budaya ini sepatutnya disemai di dalam institusi kekeluargaan bilamana hendak membuat sebarang keputusan yang penting dalam keluarga. Selain melibatkan mereka dalam proses membuat keputusan, ia juga dapat mengeratkan talian kekeluargaan dan sifat percaya-mempercayai sesama ahli keluarga.
Hargailah pandangan anak-anak. Jika pandangan mereka tidak dapat diterima atau kurang menepati kehendak syariat, berikan kepada mereka alternatif. Elakkan daripada 'mencantas' setiap luahan rasa mereka. Jika anak-anak dihargai, insya Allah mereka akan membesar menjadi insan yang lebih proaktif dan berani.
A. Petua Merangsang Anak Yang Mempunyai Masalah Komunikasi :1. Ibu bapa harus memberikan perhatian yang khusus bila diperlukan.
2. Pamerkan kasih sayang dengan jelas.
3. Puji anak secara khusus.
4. Berikan penerimaan & penghargaan sekerap yang mungkin.
5. Hormati kawan-kawan anak.
6. Kongsi perasaan ibu bapa dengan anak-anak.
7. Kongsi hobi dengan anak.
8. Lakukan sesuatu yang istimewa untuk anak.
9. Bentuk suasana komunikasi yang selesa.
B. Petua Merangsang Keistimewaan Anak :1. Kenali dan nyatakan ciri istimewa anak.
2. Terima dan galakkan anak memberi pandangan dan cadangan.
3. Terima dan hargai anak walaupun ada kesilapan dan kelemahan.
4. Cari keunikan dalam idea atau perlakuan anak dan beri pujian.
5. Beri peluang anak untuk mencuba atau bertindak secara unik.
6. Hormati setiap pandangan anak walaupun ada yang tidak disetujui oleh ibu bapa.
7. Hormati barang kepunyaan dan biliknya.
8. Beri peluang anak melakukan sesuatu kerja atau tugasan mengikut caranya sendiri.
C. Petua Meningkatkan Keyakinan Diri Anak :1. Bantu anak meningkatkan kemahiran berkomunikasi
Galakkan beri pandangan.
Dengar ceritanya.
Suruh ceritakan pengalaman di sekolah setiap hari.
2. Libatkan anak dalam merangka peraturan dalam rumah tangga dan dalam menyelesaikan masalah.
Jadual harian di rumah.
Tanggungjawab mengenai bilik tidur.
Tanggungjawab membantu kerja-kerja dirumah.
3. Nilai proses penyelesaian masalah yang dijalankan oleh anak.
4. Beri penghargaan untuk setiap 1 kejayaan walaupun kecil.
5. Hormati aras ketrampilan anak dan sentiasa ingat yang dia sedang belajar.
6. Galakkan anak membuat matlamat peribadi sama ada jangka pendek atau jangka panjang.
7. Beri sokongan dan galakan bila anak dapat mempengaruhi orang lain secara positif.
8. Terima perubahan dalam peranan yang dimainkan oleh anak. Contoh : Masa kecil suka ikut bapa ke mana-mana. Bila sudah besar tidak mahu lagi ikut bapa.
D. Petua Merangsang Anak Agar Mendengar Cakap Ibu Bapa :1. Elakkan dari berleter. Kajian menunjukkan bahawa anak-anak lebih bersedia mendengar cakap ibu bapa jika disampaikan menggunakan tiga ayat atau kurang.
2. Tarik perhatian anak terlebih dahulu sebelum menyatakan sesuatu kepada anak.
3. Rangsang emosi anak sebelum memberi nasihat atau arahan. Emosi yang sesuai akan dapat merangsang tindakan.
4. Ulang perkara atau perkataan yang penting beberapa kali agar jelas dan nampak peri mustahaknya.
5. Jangan beri arahan sahaja. Terangkan juga cara dan apa yang dibuat dan kenapa ia perlu dilakukan.
6. Jangan menggunakan perkataan "orang pertama" - kamu, anda, awak. Ia akan merangsang bantahan atau naluri melawan. Gunakan bahasa "orang kedua"
"Abah harap kamu mandi sebelum Maghrib".
"Abah sedih kalau kamu bergaduh dengan kawan".
7. Beri anak pilihan dalam perkara-perkara yang dilakukan. Ini akan membuatkan mereka terasa dihormati dan berkebolehan.
8. Minta cadangan dari anak untuk menyelesaikan masalah mereka.
Contoh :
i. Anak diminta belikan lampu picit untuk membolebkan dia tidur sendiri di bilik.
ii. Anak mencadangkan ayahnya membelikan bakul untuk baju bagi mengelakkan pakaian kotor berselerak.
9. Beri maklumat yang lengkap sebelum sesuatu perkara berlaku.
Contoh :
Bapa: Nenek tu tak suka bising-bising, jadi apa yang patut kamu buat bila nenek tidur kat rumah kita esok?
Anak: Ok lah, Saya tak buka radio kuat-kuat seperti biasa.
10. Gunakan fantasi untuk memberi kesedaran pada anak.
Anak : Abah.. ,naik teksi bah.Tak bestlah naik bas.
Bapa : Eh..Kalau abah jutawan, jangankan teksi, abah belikan kamu helikopter untuk pergi dan balik dari sekolah!!!
11. Gunakan humor untuk mengelakkan pertengkaran atau kenang semula cerita lama yang lucu untuk meredakan suasana yang tegang.
E. Mendidik Anak Mengenali Perasaannya :1. Apabila ibu bapa cuba memahami dan menerima perasaan, elakkan dari mengulang semula apa yang anak sebut. Gunakan perkataan lain untuk menjelaskan perasaan anak.
Contoh 1:
Anak : "Saya takut pada lipaslah abah!"
Ayah : "Oh ya, abah lupa yang Shakir tak selesa kalau ada lipas dalam bilik".
2. Dengan mempamerkan yang kita faham dan simpati mengenai perasaannya, anak akan terdorong untuk bercerita dengan lebih lanjut mengenai perasaannya. Ibu bapa juga perlu mendidik anak mengenali emosi yang mereka rasakan.
Contoh 2 :
Anak : Boringlah pergi sekolah, Cikgu asyik bentak-bentak aje!
Ayah: Oh... .Jadi Shazwan rasa tak seronok bila cikgu marah ke?
Contoh 3 :
Anak : Bencilah Zaidah tak jemput jamuan harijadinya!
Ayah : 0h... .Hidayah rasa marah dan kecil hati sebab kawan tak jemputlah ye !"
Kesilapan oleh ibubapa dalam mendidik anak-anak.Dewasa ini purata ibubapa yang gagal mendidik anak-anak ke arah pengamalan Islam secara syumul begitu ketara sekali dan semakin membimbangkan. Impaknya dapat dilihat dengan jelas dalam senario kehidupan anak–anak itu sendiri. Hal ini jika berterusan akan merosakkan diri mereka, kasih sayang terhadap ibubapa mereka, hubungan antara keluarga, orang tua dan ahli masyarakat setempat. Lebih jauh lagi, tempiasnya akan tersebar terhadap Islam dan negara.
Faktor penyebabnya ialah bapa, selaku ketua, pemimpin dan pelindung terhadap keluarga, dan ibu selaku penasihat dan penggerak kepada peranan bapa. Malangnya peranan ini gagal dilaksanakan.
Antara kesilapan yang dilakukan ialah :
1. Kurang penekanan terhadap kewajipan solat ; Tidak mengajar anak solat dengan betul dari segi bacaan dan perbuatan kerana sifat menyerah tanggungjawab tersebut kepada ustaz di sekolah atau kelas Fardhu Ain. Kalau anak–anak solat pun tidak pernah diuji secara praktikal atau diperhati betul salahnya solat tersebut. Begitu juga, jika dibawa anak–anak ke masjid, ibubapa tidak mengambil pusing anak–anak mereka sama ada mereka sudah masuk saf atau tidak. Apa salahnya jika jarang–jarang ibubapa solat di belakang anak–anak. Dalam hal ini ada di kalangan ibubapa yang tidak memaksa secara tegas supaya anak–anak solat seperti solat Subuh atas alasan kasihan ( melihat mereka nyenyak tidur) dan juga semasa menghadiri sesuatu majlis keraian, kenduri, perayaan dan seumpamanya.
2. Tidak memberi perhatian terhadap pembelajaran bacaan Al Quran anak–anak ; Anak–anak tidak ditanya atau menyuruh membaca semula apa yang pelajari pada hari itu dalam bentuk ulangkaji. Juga tidak ditanya guru Al-Quran tentang kemajuan dan sikap anak–anak semasa belajar sama telah untuk memberi kuasa veto kepada si guru bagi merotan anak-anak mereka.
3. Tidak memberi rangsangan dalam bentuk hadiah dan pujian terhadap anak– anak yang cemerlang dalam solat, bacaan Al-Quran ( hafalan lagi baik ) dan hafalan wirid serta doa.
4. Tidak menanam sikap kecintaan kepada Allah S.W.T dan Rasulullah S.A.W.
5. Tidak mengambil kisah pemakanan anak–anak ; sama ada di rumah atau di luar yang kebanyakan bersumberkan syubahah seperti makanan segera, minuman berkarbonat dan lain–lain lagi. Atau bersumberkan pembelian wang haram atau syubahah.
6. Membiarkan anak–anak bergaul bebas ; tanpa memerhatikan latar belakang kawan–kawan mereka dari segi penjagaan solat, latar pendidikan, akhlak dan keluarga ( faktor pengaruh). Walau bagaimanapun anak–anak tidak boleh dikongkong kerana akan menghalang kematangan mereka dalam pergaulan.
7. Memberi kebebasan berpakaian tanpa menutup aurat ; khususnya anak perempuan. Ramai ibubapa golongan baru segaja memilih dan mengatur pakaian anak-anak mengikut ‘trend’ zaman ini. Sepatutnya anak–anak perlu diajar cara pakaian bersopan bermula zaman awal kanak-kanak lagi. Ingat, panas akhirat mengatasi panas dunia !!
8. Terlalu menekankan kecemerlangan akademik ; dengan menghantar tuisyen petang dan malam serta hujung minggu (tuisyen sekolah dan persendirian : tidak semua tetapi ada) sehinggakan anak–anak menjadi letih tetapi mengabaikan pendidikan Islam.
9. Membiarkan anak-anak menonton hiburan melampau ; dan drama yang tidak bermoral, mendengar muzik barat / cinta serta membaca novel cinta, majalah hiburan yang diketahui tiada motif / unsur mendidik rohani.
10. Tidak membawa anak–anak menziarahi kubur ; yang bertujuan untuk mengingatkan hari penyudah hidup.
11. Tidak membawa anak–anak terutamanya anak yang remaja berziarah ke rumah ahli keluaga dan saudara mara sambil memperkenalkan antara satu sama lain.
12. Tidak memanggil anak-anak supaya bersalam dan bermesra dengan tetamu yang datang ke rumah ( tetapi dengan menjaga adab kesopanan ).
13. Tidak memperjelaskan hukum hakam agama dalam semua aspek kehidupan baik rohani, jasmani dan ketuhanan kepada Yang Maha Esa.
14. Tidak menanam sikap menolong orang susah, fakir dan miskin serta amalan bersedekah.
15. Ibubapa tidak menunjukkan contoh tauladan tingkah laku yang baik selaras dengan kehendak Islam.
16. Ibubapa terlalu mengejar dunia sehingga semua di atas tidak terlaksana !!