Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh
Segala pujian bagi Allah, Tuhan sekalian alam, salawat dan salam ke atas nabi Muhammad s.a.w.,para sahabat dan pengikut baginda yang setia hingga akhir zaman.Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,Di Malaysia, perkembangan institusi pendidikan prasekolah memperlihatkan kepesatan dengan tertubuhnya pelbagai prasekolah dengan visi, misi serta pendekatan yang tersendiri. Kepelbagaian tersebut menunjukkan bahawa pendidikan prasekolah semakin mendapat perhatian dan sambutan daripada ibu bapa lantaran keperluannya dalam membangunkan modal insan sejak dari awal lagi. Kewujudan PASTI membangunkan pendidikan di peringkat prasekolah dan Kelas Asas Fardu Ain dan Fardu Kifayah (FAFFAH) adalah bertujuan mengembalikan kefahaman dan keyakinan ibu bapa bahawa anak-anak wajib diberi pendidikan awal Islam sebab kita berpegang kepada pesanan Nabi Muhammad s.a.w bahawa anak-anak dilahirkan dalam keadaan fitrah, suci lagi bersih manakala pendidikan yang kita berikan akan mencorakkan diri dan kehidupan mereka.Saya mengambil kesempatan pada ruang ini untuk mengucapkan selamat datang kepada semua murid yang mendaftar ke semua cawangan PASTI di seluruh negara. Saya yakin dan percaya bahawa tuan-tuan dan puan-puan membuat keputusan untuk menghantar anak-anak belajar di PASTI kerana memahami bahawa pendidikan awal Islam merupakan satu ruang yang amat berkesan untuk membangunkan rohani, fizikal, intelek, emosi dan sosial anak-anak menjadi insan yang cemerlang di dunia dan di akhirat. Ia juga merupakan manifestasi keyakinan ibu bapa terhadap kemampuan pihak pengurusan dan guru melaksanakan amanah yang diberikan oleh mereka.Oleh itu, saya mengharapkan semua pihak yang terbabit secara langsung dalam organisasi dan sistem pendidikan ini agar terus melaksanakan peranan dan tanggungjawab dengan baik, istiqamah dan berkesan. Terima kasih atas kepercayaan tuan-tuan dan puan-puan.Terima kasih juga saya ucapkan kepada pihak pengurusan dan guru-guru PASTI cawangan di seluruh negara yang bekerja keras membuat persiapan bagi sesi persekolahan 2011 ini. Semoga kita dapat menguruskan PASTI kita dengan penuh rasa tanggungjawab, memberi pendidikan yang terbaik kepada murid-murid kita dan menjayakan program-program yang telah dirancang di semua peringkat seperti Sambutan Hari Guru, Sukan PASTI, Ihtifal dan lain-lain lagi. Penglibatan ibu bapa dan masyarakat amat kami alu-alukan bagi menjadikan sistem pendidikan PASTI sebagai sistem pendidikan umat yang terbaik.Sekian, terima kasih.Yang melaksanakan amanah,AZRIN BIN AB. MAJID
Ketua Pengarah
Jabatan Pendidikan PASTI Malaysia
Ketua Pengarah
Jabatan Pendidikan PASTI Malaysia
No comments:
Post a Comment