4 Ramadhan 1432H, 
PUASA  menurut syariat adalah menahan diri daripada perkara yang  membatalkannya bermula dari terbit fajar hingga terbenam matahari,  dengan disertai dengan niat kepada Allah. Semua perintah Allah yang  disyariatkan pastinya mempunyai faedah dan manfaatnya, begitu juga  dengan segala laranganNya yang pasti ada kemudaratannya.
Dari  segi kesihatan, puasa dapat menghindarkan penyakit. Sepertimana kita  tahu, dewasa ini manusia meninggal dunia disebabkan oleh pemakanan.  Hadis Nabi juga menyebut bahawa ‘perut adalah rumah penyakit dan puasa  adalah raja segala ubat’.
Seharian  kita berpuasa telah mendidik perut kita hanya menerima makanan pada  masa yang ditetapkan sahaja. Jika hari-hari biasa, merata tempat kita  manusia menikmati hidangan makanan tanpa mengira masa selagi mata belum  terpejam. Jadi perut pun bekerja tanpa rehat.
Para  penyelidik ilmu perubatan juga mengakui bahawa puasa dapat membuang  toksin dari badan dan secara tidak langsung meningkatkan sistem  imunisasi tubuh dalam melawan penyakit.
Dalam  ilmu biologi, ketika perut dan usus melakukan proses pencernaan, otak  tidak dapat berfungsi dengan baik. Ini kerana tenaga dan pengaliran  darah tertumpu kepada kerja-kerja penghadaman makanan. Sebab itulah  apabila kita makan sampai terlalu kenyang, otak kita akan menjadi lemah  untuk berfikir dan tubuh pun akan rasa mengantuk dan malas.
Ketika  berpuasa, tenaga dan pengaliran darah tertumpu kepada otak. Ini  menjadikan otak dapat bekerja dengan lancar dan memberi peluang kepada  diri kita untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti yang menggunakan mental  dan fizikal yang berkesan.
Berpuasa  juga mengajar mereka yang mengerjakannya mengenal erti kesusahan dan  keperitan manusia lain yang mengalami kekurangan makanan. Jika sebelum  ini tidak pernah terlintas di fikiran akan penderitaan mereka, jadi  melalui puasa kita banyak bersabar dan banyak mendekatkan diri kepada  Allah bagi memanjatkan kesyukuran.
Bulan  Ramadhan adalah bulan yang suci antara semua bulan. Solat Tarawih yang  ditunaikan sepanjang Ramadhan banyak hikmahnya. Setiap malam yang  ditunaikan mempunyai faedahnya tersendiri yang ditetapkan oleh Allah.
Lailatul  Qadar yang hanya terdapat dalam bulan Ramadhan merupakan malam yang  sejahtera dan selamat dari segala kejahatan dari awal malam hinggalah  terbit fajar. Pada malam tersebut Allah melipatkan rahmatnya kepada  seluruh mukmin yang masih hidup dan juga yang telah mati. Ini menandakan  betapa pemurahnya Allah kepada hamba-hambaNya.
Dengan  segenap hikmah yang terkandung di dalam ibadah puasa marilah kita kita  mengumpul segala kelebihannya itu untuk diterjemahkan dalam kehidupan  seharian.
Jadikanlah  ‘Madrasah Ramadhan’ sebaik-baik tempat latihan agar kita dapat  menjalankan kehidupan berdasarkan kesederahanaan, kesabaran, keinsafan  perihal wujudnya sejuzuk manusia di dunia ini yang perlu dibantu. Juga  pentingnya ketahanan dan pembinaan mental dan fizikal untuk mencapai apa  yang dicita-citakan.
>>Kami warga kerja PASTI Negeri Perlis mengucapkan selamat menyambut ramadhan al-mubarak dalam memburu malam Lailatulqadar semoga kita semua menjadi insan yang bertaqwa :) 

No comments:
Post a Comment