Menurut  Abdullah Nasih Ulwan, antara faktor terbesar yang menyebabkan   anak-anak terpesong haluannya ialah kerana ibu bapa tidak melakukan   kerja pendidikan. Mereka fikir bahawa tugas mereka selesai dengan   memberikan makanan dan pakaian yang cukup. Selebihnya mereka serahkan   kepada sekolah, atau Pasti.
Malang sungguh tanggapan begini. Binatang seperti harimau pun tahu   tanggungjawabnya mendidik. Harimau tidak membiarkan anak-anaknya   membesar tanpa dia mendidik dan melatih mereka terlebih dahulu. Harimau   mendidik anak tentang bagaimana memburu binatang. Apabila si ibu   memburu, dia sengaja tidak terus membunuh buruannya untuk dijadikan   santapan.
Sebaliknya, dia hanya mencederakan buruan itu. Maka binatang  buruan  itu terus cuba melepaskan diri sambil lari terhencot-hencot  kerana  kakinya sudah cedera. Pada waktu inilah, si anak-anak harimau  tadi  berlatih mengejar dan menangkap buruan. Binatang buruan yang cedera  itu  menjadi alat pendidikan secara praktikal. Si ibu pula hanya   memerhatikan bagaimana anak-anaknya berlatih. Selepas beberapa siri   latihan, dan anak-anak harimau tadi sudah cekap, barulah mereka   dibiarkan berdikari mencari rezekinya sendiri.
Jika harimau pun tahu tanggungjawab mereka, bagaimana pula ada ibu   bapa sanggup mengabaikan pendidikan anak-anak. Harimau mahu anaknya   mampu menangkap buruan, maka dia rela menghabiskan masanya melatih anak   itu. Yang peliknya, manusia pula mahu anaknya cemerlang, berjaya dan   soleh, namun tidak berusaha ke arah itu. Mereka langsung tidak perasan   bahawa diri mereka adalah sebenarnya seorang 'pendidik'.
Mendidik Bukan Menternak!
Ibu bapa perlu ingat bahawa mereka  berperanan untuk mendidik anak,  bukan sekadar 'menternak' anak-anak.  Allah menjadikan anak-anak itu  sebagai amanah yang amat berharga. Jangan  sia-siakan mereka. Mereka  bukannya makhluk yang boleh membesar hanya  dengan makan dan pakai yang  cukup. Mereka punya jiwa dan hati, juga  punya nafsu dan perasaan.  Kantung kalbu mereka tidak boleh dibiarkan  kosong. Jika ibu dan bapa  tidak berusaha untuk mengisi kantung kalbu itu  dengan iman dan ihsan,  nescaya virus-virus perosak akan menyelinap  masuk dan merosakkan  pekerti anak-anak. Jiwa mereka punya potensi untuk  menjadi manusia  sebaik malaikat. Namun, nafsu mereka juga ada potensi  menjadikan mereka  sejahat syaitan.
Kita sering  dengar Hassan Al-Banna sebagai seorang pendakwah hebat.Maka 'sibuk' itu bukan alasannya. Kita memang dilahirkan di dunia ini   untuk menjadi orang sibuk. Orang yang tidak sibuk ialah orang yang   cuai, lalai dan mundur. Maka semua kita perlulah sibuk. Maknanya,   orang-orang yang pernah berjaya melahirkan anak-anak yang hebat juga   dulunya sibuk, seperti kita. Soalnya kita sibuk dengan apa? Bukankah   'mendidik anak' itu salah satu tugas kita dalam senarai fungsi-fungsi   kita sebagai seorang 'bapa' dan 'ibu'?
Orang sibuk dan bijak akan menyenaraikan fungsinya. Fungsi kita bukan   sekadar 'pengarah syarikat', 'pegawai kewangan', 'jurutera kanan',   'pakar perbidanan', 'setiausaha persatuan' atau seumpamanya. Fungsi kita   juga perlu senaraikan fungsi-fungsi kita sebagai 'anak kepada ibu   bapa', 'suami', 'isteri', 'bapa', dan 'ibu'. Selepas fungsi   disenaraikan, kita perlu pula mencatatkan tugas-tugas kita bagi setiap   fungsi itu. Maka tugas 'mendidik anak' itu satu tugas besar, dan sangat   penting – walau pun biasanya tidak 'urgent' – yang  perlukan ruangan   masa yang panjang.
Biodata Kolumnis
Ustaz Fathi Yusuf merupakan graduan ijazah Undang-Undang Syariah UIAM dan master Undang-Undang UKM manakala isterinya, Ustazah Ros Izanuri Jamaluddin  merupakan graduan Bahasa Arab UIAM. Ustaz Fathi sedang melanjutkan  pelajaran dalam bidang PhD di UIAM manakala Ustazah Ros Izanuri mengajar  di SMK Taman Melawati, Kuala Lumpur.

No comments:
Post a Comment